Fazleena hishamuddin

Fazleena Hishamuddin
Fazleena Hishamuddin
Kelahiran (1979-11-13) 13 November 1979 (umur 44)
PekerjaanPenulis, aktivis teater, pengacara, pengurus acara.
Tahun aktif1999–kini
PasanganAmar Amir
AnugerahAnugerah Lagu Indie (2020), Anugerah Juara Lagu ke-36 (2022), Anugerah Seni Budaya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpurr (2023)

Fazleena Hishamuddin merupakan seorang karyawan dalam pelbagai lapangan seni seperti penulisan, teater, puisi, filem, pengurusan acara, pengacaraan dan muzik. Dilahirkan di Banting, Selangor pada 13 November 1979, dan merupakan anak kedua dari lima beradik. Kecenderungan Fazleena dalam bidang seni budaya tercetus dari bapanya seorang penggemar muzik yang boleh bermain pelbagai alat muzik dengan baik. Selain minat yang mendalam pada penulisan sejak kecil.

Fazleena menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi sehingga selesai Sijil Pelajaran Tinggi (SPM) pada tahun 1996. Beliau kemudian menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah di Kajang. Keputusan STPM yang baik membolehkan Fazleena melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan dengan major  kesusasteraan Melayu dan minor Sejarah pada tahun 1999 sehingga 2002.

Sementara menunggu graduasi, Fazleena menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana (master) dalam bidang Psikologi Kaunseling di universiti yang sama dari 2002 hingga 2005. Beliau berkenalan dengan teman-teman di Kelab Teater Rimba, yang membuka jalan kepada perjalanan teater sehinggalah ke hari ini. Sepanjang pengajian, beliau aktif menjadi jawatankuasa kebudayaan di kolej dan mengikuti pelbagai kegiatan seni budaya terutamanya teater, puisi dan pengurusan acara.

Karyawan sepenuh masa atau pekerja seni itulah gelaran yang sering diberikan kepada khalayak jika ada yang bertanya tentangnya. Fazleena seorang anak seni yang gigih, berdedikasi dan sentiasa ingin menggali potensi diri. Teater, penulisan, puisi, muzik, pengurusan acara–Fazleena meletakkan jiwanya dalam setiap kesenian yang dicintainya.

KEHIDUPAN PERIBADI

Fazleena telah berkahwin dengan Amar Amir pada tahun 2013. Pasangan ini telah dikurniakan cahaya mata yang diberi nama Kesuma Hati pada 2021. Amar Amir merupakan seorang penulis skrip drama dan filem.

KERJAYA

Penglibatan awal Fazleena, banyak terlibat dalam penggambaran filem pendek untuk tujuan ke festival dalam dan luar negara sebagai pelakon. Beliau turut menghasilkan filem pendek hasil tulisan dan arahan sendiri yang pernah memenangi Anugerah Skrip Terbaik Kategori Eksperimental di Festival Filem Pendek anjuran RTM/Finas pada 2007 bertajuk Aku Tak Mampu dan Anugerah Khas Juri untuk filem pendek Komunikasi Yang Hilang pada Anugerah Karyawan Muda 2009.

Bergiat aktif dalam dunia teater sejak 2003 sebagai pelakon di sekitar seluruh Malaysia. Lebih dari 30 teater yang dibintanginya seperti Detik, Syajar, Sang Putri, Hegemoni, Teater Juta-Juta, Satu Plastik Hitam, Kawan-Kawan Yang Kita Suka, Neo-Romantik, Gadis dan Dua Menara, Maduku Kalut, Samaya, Projek Kahwin, Narapidana dan banyak lagi. Teater Juta-Juta arahan Fasyali Fadzly telah memenangi Best Group Performance di Boh Cameronion Awards 2013 yang dilakonkan Fazleena sebagai teraju utama bersama Aloy Paradoks dan Anas Ridzuan. Sejak 2019, Fazleena telah dilantik menjadi salah seorang juri dalam kategori persembahan teater untuk anugerah yang berpretij Malaysia, Boh Cameronion Awards, sehingga kini.

Anugerah dalam bidang lakonan yang pernah dimenangi ialah Anugerah Pelakon Harapan Terbaik Festival Antara Universiti 2004 serta Pelakon Wanita Terbaik Creative Visual Awards 2012 melalui filem pendek PSP, arahan Ande Umar. Beliau juga pernah meraih tiga nominasi untuk Anugerah Seni Boh Cameronion sebagai pelakon utama dan pembantu. Muncul sebagai pelakon utama dalam Feature Film Indie berjudul Kontradiksi yang ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa, Luang, Prabang, Laos.

Kota Kelip-Kelip merupakan teater berdurasi panjang arahan beliau yang pertama. Kota Kelip-Kelip merupakan pementasan yang dibintangi 10 anak-anak yatim yang tidak pernah terdedah dengan latihan pentas atau lakonan, di bawah seliaan sebuah badan NGO : Teach for The Needs. Melalui pementasan itu, beliau berjaya dinominasi sebagai Pengarah Terbaik di Anugerah Boh Cameronion Award 2016, dibawah kategori Junior Cammies. Pada tahun 2018, beliau mengarahkan sebuah pementasan teater yang turut melibatkan kanak-kanak marjinal seramai 20 orang di Auditorium DBP dengan tajuk Mona Ke Daerah M. Pementasan tersebut berjaya mendapat beberapa nominasi khas di Boh Cameronion Awards dan telah melakar sejarah dalam dunia teater tempatan. Fazleena percaya pendidikan teater adalah agen terbaik untuk membentuk dan membedaya anak-anak yang terpinggir dan kurang bernasib baik.

Di dalam lapangan penulisan, Fazleena Hishamuddin pernah memenangi hadiah utama pertandingan menulis My Writers Unleashed anjuran My Creative 2017. 2018, lahir karya terbaharu beliau berjudul Tari Pasar Perempuan yang merupakan kumpulan cerpen terbitan Roman Buku yang mengambil semangat atas penganugerahan tersebut. Sebelum itu, beliau pernah menerbitkan kumpulan puisi/anekdot di bawah penerbitan Selut Press yang bertajuk Seksi Ovari dan kemudian diikuti oleh Bibir Ceri Melati yang merupakan koleksi prosa dan puisi di bawah penerbitan yang sama. 2019, beliau muncul dengan buku yang diberi nama Chai Buat Ram, sebuah travelog catatan peribadi ke bumi India terbitan Laras 99. Terbaharu pada Mei 2023, beliau telah melahirkan kumpulan cerpen kedua yang bertajuk Diam Dalam Gempita yang diterbitkan oleh Nusa Centre, sebuah penerbitan sastera yang mapan.

Karyanya (cerpen, puisi dan catatan reaksi) pernah tersiar di Dewan Budaya, Dewan Sastera, Utusan Malaysia, Berita Harian, Majalah Wanita dan Jurnal Svara. Fazleena juga banyak menghimpunkan karyanya di antalogi puisi dan cerpen bersama penulis lain. Pada tahun 2019, beliau telah diberikan mandat untuk menulis sebuah buku istimewa sebagai dedikasi kepada perjuangan wanita Malaysia yang diberi nama Ceritalah Wanita yang diterbitkan oleh Institut Wanita Berdaya.

Fazleena pernah membangunkan rumah seni yang diberi nama Markas Kota Damansara yang menjadi hub seni, budaya dan ilmu sekitar 2017 hingga 2018. Namun ruang seni itu tidak dapat bertahan akibat kekurangan dana. Beliau kemudian mendapat penghargaan pemerintah untuk menguruskan Serambi Karya (sebuah banglo milik kerajaan) di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur sekitar 2019 hingga 2002. Namun pandemik dan perubahan politik negara telah menggugat pengurusannya, beliau tidak dapat meneruskan lagi ruang itu sebagai tempat meraikan seni untuk komuniti. Fazleena tidak berhenti di situ, beliau masih cekal menguruskan acara, bergerak dengan pasukannya, cuma tidak lagi di premis yang tetap. Atas pengalaman dan kredibilitinya, beliau terus dilantik menjadi pengarah projek dan penyelaras program untuk pelbagai acara di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Pengalamannya dalam bidang seni telah membuatkan Fazleena untuk terus berkongsi kepada masyarakat. Beliau sering dijemput memberikan bengkel lakonan dan pengarahan di sekolah, universiti dan kolej seluruh Malaysia. Bukan saja dalam lapangan teater, Fazleena turut menjadi pembimbing dan guru untuk seminar dan bengkel berkaitan penulisan, puisi dan pengurusan acara. Hingga kini, beliau masih kekal aktif diundang menjadi moderator untuk forum, pengacara di acara-acara rasmi dan santai, juga masih berlakon di pentas teater. Fazleena juga menjadi guru lakon kepada ramai artis Malaysia yang sedang meningkat naik seperti Anna Jobling, Jabir Meftah, Syahir Syafein, Zahra Auni, Syed Irfan dan ramai lagi.

Pada 2020, Fazleena mengasaskan sebuah kolektif yang diberi nama Suri Panggung sebagai platform untuk pengkarya wanita berekspresi dalam medium seni persembahan. Beliau menyediakan ruang untuk diskusi, perdebatan dan perbincangan sehingga menawarkan proses pembelajaran yang dinamik. Suri Panggung juga menengahkan isu-isu wanita yang terpinggir, tersembunyi dan berdepan dengan hal-hal tabu yang memedihkan. Usaha ini diharap dapat melahirkan produksi dengan suara perempuan yang berani, provokatif dan mengangkat hal-hal pemerkasaan wanita ke peringkat yang sepatutnya. Selain itu, Suri Panggung juga menerima jemputan untuk melakukan persembahan di acara-acara seni budaya di seluruh Malaysia.

Fazleena Hishamuddin ketika lirik lagu ciptaannya yang bertajuk Pelukan Angkasa dinobatkan sebagai lagu terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-36.


Satu lagi bidang yang sedang ditekuninya ialah penulisan lirik. Percubaan untuk menulis lirik untuk lagu-lagu puisi bersama kugirannya Fazleena and The Lasykar sejak 2017, kemudian diundang menulis untuk lagu-lagu dari band indipendent seperti Sekumpulan Orang Gila dan Margosa. Tanpa disangka, lirik lagunya berjudul Penawar nyanyian kumpulan Margosa telah meletakkannya sebagai Juara Lagu Indie 2020, anjuran Radio Rakita. Fazleena sekali lagi mengulang kejayaan yang sama di pentas berpretij Anugerah Juara Lagu ke-36 pada tahun 2022 dengan lirik lagu Pelukan Angkasa, nyanyian Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan Shila Amzah. Lagu tersebut telah dinobatkan sebagai juara. Kini, Fazleena meneruskan kesinambungan karya penulisan liriknya dengan menjadi residen artis di Luncai Emas Sdn Bhd, sebuah penerbitan muzik yang dinaungi oleh lagenda muzik negara, Datuk M.Nasir.

Fazleena & The Lasykar sewaktu persembahan di Tamasya Anak Muda, januari 2024.

Fazleena & Lasykar merupakan sebuah kugiran puisi yang ditubuhkan Fazleena untuk membawa suara puisi terkini secara fun dan kontemporari dengan isu seputar kemanusiaan. Bersama ahli kugiran ini beliau pernah berdendang dan berpentas di panggung tersohor Esplanade, Singapura di acara Cipta Cita pada September 2017.

Terbaharu Fazleena menerima Anugerah Penggiat Seni (Teater) di Anugerah Seni Budaya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023.

Sehingga hampir 20 tahun penglibatannya dalam seni budaya sejak era universiti, Fazleena terus mengorak langkah meletakkan namanya sebaris karyawan Malaysia yang disegani. Cintanya pada seni, budaya dan ilmu terus mekar dan mengharum. Tiada yang dapat mengugah semangat dan kegigihannya dalam mencipta karya-karya baharu yang segar dan kontemporari. Seterusnya menuangkan pengalamannya kepada karyawan generasi muda agar nasib dan perjuangan kesenian terus terbela.

KERJAYA SENI

Selesai tamat pengajian, Fazleena diterima kerja sebagai kaunselor di Pusat Tele-Kaunseling, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari 2005 hingga 2007. Di sini Fazleena tidak hanya memberikan perkhidmatan kaunseling kepada pekerja di DBKL, malah unit bantuan kaunseling ini dibuka kepada masyarakat awam di sekitar lembah Klang secara percuma. Pengalaman mengendalikan pemasalahan masyarakat menjadi pengalaman yang berharga sepanjang kehidupannya.

2007 Fazleena bekerja di Shell Petroleum Association, Kuala Lumpur sebagai perunding. Kemudian berehat dari kerja 9-5 dan bergerak secara freelance sebagai karyawan sepenuh masa–menjadi penulis kreatif, pengurus acara, jurulatih teater dan pembimbing bengkel sehingga 2008. Beliau kemudiannya mendapat peluang bekerja di sebuah agensi pengiklanan yang tersohor ketika itu iaitu Cipta Asia Worldwide sebagai penolong pengurus produksi dan client services sehingga 2010. Di agensi ini Fazleena telah pergi ke merata negeri untuk mengendalikan rakaman acara tv. Di sini juga Fazleena terdedah dengan kerumitan dan kompleksiti pekerjaan dalam bidang pengiklanan yang memerlukan stamina dan dedikasi yang tinggi. Selain pembuatan video, di Cipta Asia Worldwide ini Fazleena turut belajar menulis skrip untuk korporat video, iklan dan tv. Selain belajar berunding dan berkomunikasi dengan klien dari pelbagai bidang korporat dan awam. Fazleena mengakui bahawa bidang pengiklanan ini membentuk jati dirinya yang berani, tekun dan berwawasan.

Namun dalam keseronokan kerja dalam bidang pengiklanan, Fazleena merasakan ada sesuatu yang hilang. Beliau tidak dapat berteater dan berkarya atas sebab masa yang begitu padat menguruskan pekerjaan harian. Pada 2010 beliau mengambil keputusan untuk bebas dari terikat dengan arahan. Sejak itu beliau tidak berpaling lagi dan memilih untuk menjadi karyawan sepenuh masa sehinggalah ke hari ini.

PENERBITAN

  • Glosari Kesenian Budaya Benda, Department of Malay Literature, January 2002 : Assistant Editor
  • Pengarang & Kepengarangan : Shamsiah Mohd Noor – Department of Malay Literature, UKM 2002
  • Persepsi & Kepentingan Bimbingan & Kaunseling : Kajian Kes di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Department of Psychology, UKM 2004
  • Journal of Pengurusan Kaunseling published by Jabatan Kebajikan Masyarakat : 2004
  • Cherish Every Moment (terjemahan Bahasa Melayu) “Menghargai hidup yang indah setiap saat” oleh Arvan Pradiansyah, E-Media Publication 2009
  • Kuala Lumpur, Aku Okay : Kumpulan cerpen, Sang Freud Press, 2011
  • Agen perisikan Cinta : Zine, Sang Freud Press, 2011
  • Seksi Ovari (Himpunan Puisi), Sang Freud Press, 2012
  • Bibir Ceri melati (cerpen & puisi) Sang Freud Press 2014
  • Laki Garden, (cerita pendek 3 penulis, Fazleena Hishamuddin, Pnut Syafinaz & Sofia J. Rhyland), Sindiket Soljah & Studio Anai-Anai.
  • Tari Pasar Perempuan (kumpulan cerpen), Roman Buku 2018.
  • Chai Buat Ram (travelog), Laras 99 2019.
  • Diam Dalam Gempita (kumpulan cerpen), Nusa Centre 2023.

LAGU-LAGU CIPTAAN

Memenangi Anugerah Juara Lagu ke 36, 2021.

  • Penawar, nyanyian Margosa

Memenangi Anugerah Lagu Indie, 2020

  • Terbanglah, nyanyian Sekumpulan Orang Gila
  • Syanti, nyanyian Sekumpulan Orang Gila
  • Wanita Adalah Rakyat (feat. Nikki Palikat, LOCA B, Kaka Azraff, Takahara Suiko, Sharifah Amani, Fatimah Abu Bakar, YB Nurul Izzah) · S.B.H · Nikki Palikat · LOCA B · Kaka Azraff · Takahara Suiko · Sharifah Amani · Fatimah Abu Bakar · YB Nurul Izzah · Muhammad Anas Amdan · Wan Muazzam Faiz Bin Wan Mazlan · Abner Alvan Kissey · Fazleena Hishamudin · Izzaty binti Khalit · Anas Amdan · Muhammad Anas Amdan · Wan Muazzam Faiz Bin Wan Mazlan · Abner Alvan Kissey · Muhammad Anas Amdan · Wan Muazzam Faiz Bin Wan Mazlan · Abner Alvan Kissey.
  • Jom Balik Kampung, nyanyian Intan Shafinas. Penyampai Rakita Atoi, Bob, Zora & Aqilah.
  • Hati-hati, nyanyian Megat Fazly & Aizat Amdan.

ANUGERAH DAN PENCAPAIAN

  • WINNER for UKM Theatre Competition 2002 with Script PROTES: Actress (Eva)
  • WINNER for Classic Drama for Convocation Day 2002 with Script JEBAT: Actress (Eva)
  • 2nd Runner up  for Theatre Festival among University of Malaysia (MAKUM ) organized by North University of Malaysia, Script KESARUNG : Supporting Actress
  • 1st Runner up and 3 Special Prizes at Selangor Theatre Festival 2003, Script SYAJAR : Assistant Director & Main Actress (Gadis)
  • 1st  Runner up and Promising Group Award at Theatre Festival among Universities of Malaysia ( MAKUM ) 2003, Script SYAJAR: Main Actress (Gadis)
  • 1st Runner up for Theatre Festival among Universities of Malaysia (MAKUM ) 2004, Script PERKAHWINAN : Main Actress (Rosefatimah )
  • Jury Choice Award for UKM Arts Award 2004 Organized by Cultural Centre UKM
  • Best Promising Actress Award at Theatre Festival among Universities of Malaysia (MAKUM) 2004 with Script PERKAHWINAN
  • Bakti Rimba Award 2004 for Contribution to Theatre Rimba Club UKM
  • Best Script (experimental category) “ Aku Tak Mampu” Short Film Award 2006, organized by FINAS & RTM : 27th January 2007
  • Nominated in Audience Choice Award for Boh Cameronion Award by Kakiseni for Theatre ‘Cinta Si Pemain Pedang’
  • 2nd Runner up at Theatre Festival Kuala Lumpur 2007: Script ‘Seseorang Yang Terkenal’
  • Screening Short Film “Sorry” at Notthatbalai Art Festival 2007 at  Lost Generation Space, Kuala Lumpur.
  • Screening Short Film “Sorry & A Women’s Heart” at Rantai Event 2007 at MIA Arts Academy Malaysia.
  • Jury Choice Award at Anugerah Karyawan Muda organized by RTM-Finas 2009 for The Lost Communication Short Film
  • Best actress for Creative Visual Awards 2012 (short film PSP directed by Ande Muhammad)
  • WINNER for Best Group Performance at Boh Caremonion Award 2013 for Teater Juta-Juta produced by Mask Team
  • Nominated for Best Director at Boh Cameronion Award 2016 in Cammies Junior Category, for Teater Kota Kelip-Kelip by Teach for The Needs.
  • Winner for My Writers Unleashed (Best Manuscript) organized by My Creative 2017.
  • Consolation Prize for Pentas Ekspresi 10 Minit 2017, organized by DBP Kuala Lumpur
  • Emerging artist incubation & Sponsorship program, Artis ke Sekolah, presented by Cendana Malaysia, December 2019.
  • WINNER for Anugerah Lagu Indie 2020, as lyricist, song title Penawar performed by Magosa band.
  • WINNER of Anugerah Juara Lagu 36. As lyricist, title Pelukan Angkasa, 2022 performed by SOG & Shila Amzah.
  • Anugerah Penggiat Seni Teater, Anugerah Seni Budaya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023.

RUJUKAN

  1. #Showbiz: 'Pelukan Angkasa' is Best Song at AJL36. Dicapai pada 7 Mac 2022.
  2. Kota Kelip-Kelip Kepada Orang Ramai. Dicapai pada 9 Jun 2015.
  3. Margosa’s ‘Penawar’ Wins Anugerah Juara Indie 2020. Dicapai pada 5 Oktober 2020.
  4. Persiapan Seorang Aktor Mengagumkan!. Dicapai pada 30 Jun 2024.
  5. “Persiapan Seorang Aktor”: Small Setting, Big Story.
  6. Fazleena Hishamuddin: A Force To Be Reckoned With
  7. Fazleena Hishamuddin on art, music and more. Dicapai pada 18 Mac 2023.
  8. Feminity redefined. Dicapai pada 5 April 2018
  9. Fazleena masuk rumah anak yatim cari pelakon baharu. Dicapai pada 23 November 2018.
  10. Pementasan Teater Juta-Juta Ke Putrajaya. Dicapai pada 6 November 2011.
  11. The Performing Arts Welcomes Back The BOH Cameronian Arts Awards with Renewed Ummph!!!. Dicapai pada 10 April 2023.
  12. Fazleena & The Lasykar Hidupkan Lagu Puisi. Dicapai pada 1 Mei 2015.
  13. Pelukan Angkasa Juara AJL36. Dicapai pada 7 Mac 2022.
  14. (HIBURAN) Teater ” KALUT”. Dicapai pada 27 September 2013.
  15. Teater Narapidana Papar Sisi Gelap Kem Tahanan dan Sistem Perundangan. Dicapai pada 15 September 2022.
  16. Kultus Kata: Buku dulu, berontak kemudian!. Dicapai pada 13 Julai 2024.
  17. Suara Wanita Telah Dibungkam. Dicapai pada 7 Disember 2023.
  18. Penawar. Dicapai pada 5 Oktober 2020.
  19. Syanti. Dicapai pada 13 Jun 2024.
  20. Pelukan Angkasa, Dicapai pada 18 September 2018.
  21. Hati-hati. Dicapai pada 30 Jun 2023.
  22. Lagu Pelukan Angkasa juara AJL36. Dicapai pada 7 Mac 2022.
  23. Lagu Pelukan Angkasa Dinobat Juara AJL 36. Dicapai pada 7 Mac 2022.
  24. Tepati Ramalan, ‘Pelukan Angkasa’ Menang AJL 36. Dicapai pada 7 Mac 2022.
  25. Pelukan Angkasa ungguli AJL36. Dicapai pada 7 Mac 2022.
  26. Pelukan Angkasa Juara AJL-36. Dicapai pada 7 Mac 2022.
  27. #OH!: Fazleena & The Lasykar - Kota Kenangan. Dicapai pada 8 Jan 2016.