Ganga Nayar

Ganga Nayar (3 Ogos 1923 - 3 April 2009) ialah ahli politik wanita Malaysia berketurunan India. Beliau merupakan wakil wanita India pertama dilantik sebagai wakil rakyat dengan memegang jawatan sebagai ADUN Serendah (kini Batang Kali) selama sepenggal (1969-1974). Beliau merupakan pengasas Parti Pekerja Malaysia.

Ganga Nayar
Presiden Parti Pekerja Malaysia
Dalam jawatan
1978–2009
Digantikan olehNalini Nair
Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk Serendah
Dalam jawatan
1969–1974
Didahului olehLim Cy Howe
Digantikan olehkawasan dibubarkan
Butiran peribadi
Lahir3 Ogos 1923
Meninggal dunia3 April 2009
(85 tahun)
Parti politikParti Buruh Malaya (1958-1969)
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (1969-1974)
Parti Tindakan Demokratik (1974-1978)
Parti Pekerja Malaysia (1978-2009)
PasanganCV Nayar
Anak-anak8 orang
PekerjaanAhli Politik


Politik

LMP, GERAKAN dan DAP

Beliau memulakan kerjaya politiknya dengan menyertai Parti Buruh Malaya pada tahun 1978. Beliau kemudian menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan bertanding dalam Pilihan raya umum Malaysia 1969. GERAKAN meletakkannya di DUN Serendah (kini Batang Kali) dan menang. Beliau mengetuai sayap wanita GERAKAN. Pada tahun 1974, beliau menyertai DAP dan bertanding di Parlimen Setapak namun tewas. Setelah itu, beliau menubuhkan Parti baharu iaitu Parti Pekerja Malaysia dan bertanding dalam Pilihan raya umum Malaysia 1978 di Parlimen Sungai Besi dan DUN Sungai Way tetapi tewas. Parti Pekerja Malaysia kemudian tidak aktif dalam politik dan pilihan raya sehinggalah kematiannya pada 3 April 2009. Jawatan Presiden diambil alih anaknya iaitu Nalini Nair.

Pengambilalihan Parti Pekerja Malaysia kepada Parti Amanah Negara (AMANAH)

Di bawah kepimpinan Nalini Nair juga, Parti Pekerja Malaysia tidak aktif. Ketika Muktamar PAS 2015, kesemua 18 pimpinan PAS Pusat digugurkan dan ditewaskan oleh kumpulan ulama/konservatif pimpinan Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man. Kumpulan progresif dan sederhana dalam PAS yang digelar sebagai kumpulan profesional/prodemokrasi ditewaskan. Kumpulan ini diketuai oleh Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub. Pendirian dan pendekatan kumpulan ini dalam PAS adalah berbeza iaitu mengambil langkah berdialog, bermesyuarat dan berhati-hati berbanding kumpulan ulama/konservatif yang lebih radikal dan mahukan perubahan segera dalam melaksanakan undang-undang Islam dan negara Islam. Apabila kumpulan ini menang pada tahun 2015, PAS secara rasmi memutuskan hubungan dengan DAP dan menyebabkan Pakatan Rakyat terbubar secara tidak langsung.

Kumpulan profesional/prodemokrasi ini bertindak kekal dalam PAS. Namun demikian, desakan untuk menubuhkan sebuah parti Islam baharu semakin rancak. Oleh itu, bekas kepimpinan PAS Pusat yang telah digugurkan bertindak menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB). GHB ini merupakan langkah untuk menubuhkan sebuah parti politik Islam baharu di Malaysia. Satu jawatankuasa ditubuhkan yang diketuai oleh Mohd Anuar Mohd Tahir. Beliau mempunyai pengalaman dalam mengasaskan Parti Keadilan Nasional (KeADILan). Mengambil contoh daripada KeADILan iaitu mengambil sebuah parti politik yang tidak aktif iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (IKATAN) yang diasaskan oleh Abdul Wahab Yunus. Maka, pimpinan GHB bersetuju untuk mengambil alih Parti Pekerja Malaysia dan kemudian menukar logo parti dan perlembagaanya. Usaha ini turut dibantu oleh Gopalan K Ppapchan, Setiausaha Agung Parti Pekerja Malaysia. Beliau kemudian menyertai parti baharu ini.

Akhirnya pada tanggal 16 September 2015, bertempat di IDCC Shah Alam, Selangor, Nalini Nair menyerahkan bendera berlogo bulatan dan cangkul kepada Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai tanda simbolik pengalihan parti lama kepada parti baharu.