Pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain

Kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain
Tarikh21-22 Mei 2017; 7 tahun yang lalu
LokasiBlok Jebat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Koordinat3°03′01″N 101°43′24″E / 3.0503154°N 101.7234175°E / 3.0503154; 101.7234175Koordinat: 3°03′01″N 101°43′24″E / 3.0503154°N 101.7234175°E / 3.0503154; 101.7234175
PenyebabDakwaan kecurian komputer riba
Kematian1 (Zulfarhan Osman Zulkarnain)
KecederaanKesan lebam dan lecur di seluruh badan
PerkuburanTanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, Johor
Suspek6 suspek utama, 12 pertuduhan
HukumanHukuman mati (suspek) dan hukuman penjara sebanyak-banyaknya 18 + 3 tahun[1]
KeputusanBersalah
KesalahanMembunuh, pencederaan tanpa niat membunuh (terdahulu), pencederaan am

Pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain ialah satu kes jenayah melibatkan penderaan yang berlaku pada awal pagi 21 dan 22 Mei 2017 (Waktu Piawai Malaysia). Kes ini melibatkan seorang mangsa, pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain (lahir 29 November 1996) yang didera melalui tekapan seterika wap terhadap badannya secara berulang kali serta pukulan-pukulan oleh sekumpulan pelajar sealiran atas tuduhan pencurian sebuah komputer riba. Zulfarhan cedera parah akibat perbuatan tersebut dan meninggal dunia pada 1 Jun.[2] Kes ini kemudian memperoleh perhatian negara sebagai suatu insiden buli secara ekstrem dalam persekitaran asrama.

Kes secara amnya berakhir tiga tahun kemudian pada 2 November 2021 apabila keputusan akhir dimuktamadkan, dengan enam orang suspek dijatuhkan hukuman asal selama penjara 18 tahun atas kesalahan pencederaan tanpa niat membunuh (Seksyen 330 Kanun Keseksaan) sementera 17 orang suspek dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan pencederaan (Seksyen 34 Kanun Keseksaan), dengan hukuman bermula hari itu.[1] Namun begitu, dengan perbicaraan rayuan dibuat, kes ditakrifkan semula sebagai kesalahan membunuh, dengan keenam-enam suspek disabitkan dengan hukuman mati pada Julai 2024.

Huraian

Pada 4:45 pagi, 21 Mei 2017, Zulfarhan Osman Zulkarnain disoal siasat berhubung kehilangan sebuah komputer riba oleh sekumpulan pelajar di bilik 04-10, Blok Hostel Jebat di UPNM. Meskipun begitu, Zulfarhan menolak dakwaan mereka, menyebabkan dirinya dibelasah beramai-ramai menggunakan seterika wap, tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju. Perbuatan tersebut dilakukan hingga azan Subuh berkumandang pada kira-kira jam 5.45 pagi.[3] Kejadian ini diulang pada 1.30 pagi hingga 4.30 pagi hari keesokannya.[3][4]

Kecederaan yang terbit daripada kes ini menyebabkan Zulfarhan dibawa ke Klinik Al-Salam, Bandar Baru Bangi pada 26 Mei, tetapi suspek yang membawanya menyembunyikan perihal sebenar dan mendakwa bahawa mangsa terkena letupan bom wap dalam latihan di Port Dickson, Negeri Sembilan.[5] Mangsa dibenarkan pulang dan dibawa ke sebuah kondominium berdekatan. Namun begitu, Zulfarhan dilihat kaku oleh saksi pada 1 Jun sebelum dibawa ke Hospital Serdang.[6] Zulfarhan disahkan meninggal dunia pada hari itu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.[7]

Perbicaraan

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada anggota badan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain telah menyebabkan kematian mangsa, namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja. Hakim Datuk Azman Abdullah dalam penghakimannya berkata, selepas mengambil kira keterangan Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad dan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan, mahkamah membuat dapatan bahawa kematian mangsa bukan suatu kematian yang mengejut selepas dicederakan. Beliau berkata, mahkamah membuat penemuan fakta bahawa berdasarkan penelitian dalam kes pembelaan, tertuduh pertama hingga kelima yang menyebabkan 90 tekapan seterika wap ke atas Zulfarhan Osman.

Tertuduh pertama, kedua, keempat dan kelima mengaku menekap hanya sekali atau dua kali manakala tertuduh ketiga tidak mengaku menekap namun tertuduh keenam dan seorang saksi pendakwaan melihat tertuduh ketiga turut menekap, katanya. Azman berkata, tiada keterangan kukuh menunjukkan bahawa terdapat individu lain menekap seterika ke badan Zulfarhan. Beliau berkata bahawa di peringkat pendakwaan, Dr Salmah berkata, bedah siasat mendapati terdapat 90 kesan luka lecur di hampir keseluruhan badan termasuk kedua-dua belah punggung dan zakar Zulfarhan Osman.

Hakim itu juga berkata, nyawa Zulfarhan Osman Zulkarnain mungkin boleh diselamatkan sekiranya terdapat campur tangan oleh doktor Klinik As-Salam semasa mangsa menerima rawatan di klinik tersebut. Beliau berkata, pada kebiasaannya, pihak hospital atau klinik kesihatan akan menelefon polis jika mengesyaki pesakit didera kerana ia merupakan isu perundangan perubatan. Menurutnya, sepatutnya doktor tersebut tidak membabi buta mempercayai mangsa terlibat dengan letupan dalam latihan sehingga terkena pada semua tubuh mangsa termasuk zakar dan testis namun tidak pada muka si mati. Beliau berkata, jika mangsa tidak mengalami cedera parah, beliau tidak perlu dibawa ke klinik sebanyak dua kali memandangkan kosnya adalah mahal iaitu kira-kira RM500 bagi setiap sesi rawatan. Tambahan pula, hakim berkata bahawa tertuduh boleh membawa mangsa ke hospital kerajaan yang percuma atau klinik UPNM, namun tidak berbuat demikian kerana bimbang rahsia mereka pecah.

Azman juga berkata Zulfarhan Osman mungkin boleh diselamatkan jika seorang jurulatih di UPNM tidak bertindak menularkan keadaan Pegawai Kadet Laut UPNM itu di dalam aplikasi WhatsApp. SP23 (penuntut UPNM, Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi) yang menulis surat layang bersama tertuduh kelapan (Muhammad Akmal Akif Alias) menyatakan "si mati ada memesan kepada beliau jika hendak sapu ubat, sapu semasa dia lena sebab sakit sangat jika dia sedar."

Perbicaraan dan keputusan akhir

Keputusan akhir diputuskan pada 2 November 2021 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh hakim, Datuk Azman Abdullah, dengan enam suspek utama dikenakan hukuman penjara 18 tahun atas kesalahan pencederaan tanpa niat membunuh (Seksyen 330 Kanun Keseksaan) sementera 17 orang suspek, termasuk lima orang suspek tadi dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan pencederaan (Seksyen 34 Kanun Keseksaan).[1] Walau bagaimanapun, pihak pendakwa raya bercadang untuk memfailkan kes ini ke tahap mahkamah rayuan untuk memperoleh sabitan membunuh ke atas suspek, dan seterusnya menjatuhkan hukuman mati ke atas para suspek.[8]

Perbicaraan rayuan

Pada 23 Julai 2024, rayuan silang pendakwaan memperbaharui dan mengesahkan hukuman kepada keenam-enam suspek dengan sabitan membunuh (Seksyen 302 Kanun Keseksaan), dengan hukuman mati. Sungguhpun dengan pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia, dengan hukuman penjara alternatif mula dikuatkuasakan, barisan hakim berpendapat bahawa hukuman mati merupakan satu-satunya hukuman yang munasabah berdasarkan gaya pencederaan yang luar biasa.[9][10]

Rujukan

  1. ^ a b c Daud, Ridauddin Daud (2 November 2021). "Kes kematian Zulfarhan: Enam penuntut UPNM dipenjara 18 tahun". Astro Awani. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-04. Dicapai pada 4 November 2021.
  2. ^ "Jenazah penuntut UPNM dipercayai mati didera selamat dikebumikan". Astro Awani. 2 Julai 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-04. Dicapai pada 4 November 2021.
  3. ^ a b Azmi, Siti Nurazlinee (29 Januari 2018). "Pendakwaan akan buktikan Zulfarhan mati didera". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-05. Dicapai pada 5 November 2021.
  4. ^ "'Ada orang suruh saya tumbuk Zulfarhan'". Berita Harian. 30 Mac 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-05. Dicapai pada 5 November 2021.
  5. ^ "'Bukan saya cucuh seterika wap di badan Zulfarhan'". Berita Harian. 26 Februari 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-05. Dicapai pada 5 November 2021.
  6. ^ Abas, Norlizah (1 November 2021). "Kronologi kes pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain". Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-05. Dicapai pada 5 November 2021.
  7. ^ "Jenazah penuntut UPNM dipercayai mati didera selamat dikebumikan". Astro Awani. 2 Jun 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-04. Dicapai pada 5 November 2021.
  8. ^ Abd Malik, Mahaizura; Muharam, Redzuan (2 November 2021). "'Saya maafkan mereka tapi akan lawan sampai ke mahkamah rayuan' - Bapa Zulfarhan [METROTV]". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-05. Dicapai pada 5 November 2021.
  9. ^ Ahmad Johari Mohd Ali (23 Julai 2024). "TERKINI Kes bunuh kadet laut: Enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung". Berita Harian. Dicapai pada 28 Julai 2024.
  10. ^ Ahmad Johari Mohd Ali (23 Julai 2024). "Ini jenayah kejam paling jarang ditemui - Hakim". Berita Harian. Dicapai pada 28 Julai 2024.

Pautan luar

  • Kronologi Kes Pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain oleh Astro Awani