Penarikan Joe Biden dari pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2024

Dalam perutusan dari pejabat beliau di Rumah Putih pada 24 Julai 2024, Biden membincangkan keputusan awalnya untuk menarik balik pencalonan dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2024.

Pada 21 Julai 2024, penyandang Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, daripada Parti Demokrat, mengumumkan penarikan dirinya daripada pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2024. Beliau memberikan sokongan kepada Naib Presiden Kamala Harris sebagai penggantinya.

Pada 25 April 2023, Biden mengumumkan hasratnya untuk mendapatkan penggal kedua sebagai Presiden dalam pilihan raya presiden 2024. Harris, Naib Presiden sekarang, dijangka menjadi calon Naib Presiden untuk Biden sekali lagi pada pilihan raya tersebut.[1] Jika Biden memenangi pencalonan, Harris akan terus berkhidmat sebagai Naib Presidennya. Semasa pemilihan dan kaukus utama Parti Demokrat yang menentukan calon parti untuk Presiden, Biden memperoleh majoriti perwakilan yang merupakan wakil yang menyokong calon pada konvensyen kebangsaan parti. Sebelum berakhirnya pemilihan utama Parti Demokrat, Biden secara meluas dianggap sebagai calon Parti Demokrat untuk pilihan raya 2024 kerana kepimpinan dan sokongan yang ketara terhadap beliau. Di sebalik kedudukan kukuhnya, timbul kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat sama ada usia dan kesihatan keseluruhan Biden mungkin menjejaskan keupayaannya untuk menjalankan tugas sebagai Presiden. Terdapat kebimbangan dalam kalangan rakyat sama ada Biden mampu dari segi fizikal dan mental untuk terus menjadi Presiden untuk satu penggal lagi, mengambil kira masalah usia dan kesihatannya.

Prestasi Biden semasa sesi debat yang diadakan pada 27 Jun 2024 mendapat kritikan meluas. Pakar dan penganalisis memerhatikan bahawa Biden sering hilang tumpuan atau keliru ketika memberikan jawapannya atau hujahnya. Hujah beliau disifatkan sebagai tidak bermatlamat atau bertele-tele tanpa struktur ayat yang jelas. Penampilan fizikal Biden semasa sesi debat kelihatan lemah dan tidak stabil. Tambahan pula, suara beliau kedengaran serak. Biden juga berdepan kesukaran untuk mengingati statistik tertentu dan menghadapi cabaran untuk menyatakan pandangannya dengan jelas dalam pelbagai perkara semasa sesi debat tersebut.[2] Selepas sesi debat tersebut, beberapa individu mula mencadangkan agar Biden mengundurkan diri dan menarik diri. Bukan sahaja beberapa individu menyatakan pendapat tersebut tetapi juga ahli partinya sendiri.[3] Lembaga pengarang berita yang berpengaruh juga menyokong pandangan ini.[4][5] Menjelang 19 Julai 2024, lebih 30 ahli Parti Demokrat berjawatan tinggi telah menasihatkan dan menggesa Biden untuk menarik balik pencalonannya dalam pilihan raya.[6]

Biden secara berterusan menegaskan bahawa beliau akan meneruskan kempennya untuk Presiden walaupun terdapat kritikan dan desakan agar beliau berundur. Ramai individu mendesak beliau berundur daripada pencalonannya.[7] Pada 21 Julai 2024, Biden memutuskan untuk mengeluarkan dirinya daripada pemilihan Presiden dan menamatkan kempennya. Beliau membuat pengumuman mengenai penarikan diri melalui surat yang dikongsinya di akaun X beliau. Dalam suratnya, Biden menjelaskan bahawa keputusannya untuk menarik diri dibuat untuk kepentingan kedua-dua partinya dan negara secara keseluruhannya. Beliau mengesahkan, walaupun beliau menarik diri, beliau akan kekal dalam tugasnya sekarang sebagai Presiden sehingga akhir penggalnya.[8] Keputusan Biden untuk menarik diri dianggap bersejarah kerana kali terakhir seorang penyandang Presiden berbuat demikian ialah pada 1968 iaitu Lyndon B. Johnson. Biden ialah Presiden pertama dalam sejarah moden yang menarik diri daripada mendapatkan penggal kedua selepas hanya berkhidmat satu penggal dalam jawatan. Biden juga merupakan Presiden pertama yang menarik diri daripada pilihan raya selepas berjaya memenangi pemilihan parti.[9][10]

Latar belakang

Presiden sebelum ini yang enggan mendapatkan penggal kedua

Secara tradisinya, kebanyakan Presiden Amerika Syarikat yang berkhidmat sepenggal penuh memutuskan untuk mendapatkan penggal kedua. Perkara tersebut merupakan perkara biasa bagi Presiden untuk bertanding semula jika mereka telah berkhidmat sepenggal penuh. Berikut ialah senarai Presiden yang memutuskan untuk tidak bertanding semula walaupun layak bertanding untuk sepenggal lagi:[11]

  • James K. Polk, yang menjadi Presiden dari 1845 hingga 1849, menghormati komitmen kempennya untuk berkhidmat hanya satu penggal dan tidak bertanding semula.
  • James Buchanan, yang menjadi Presiden dari 1857 hingga 1861, menghormati komitmen kempennya untuk berkhidmat hanya satu penggal dan tidak bertanding semula.
  • Rutherford B. Hayes, yang menjadi Presiden dari 1877 hingga 1881, menghormati komitmen kempennya untuk berkhidmat hanya satu penggal dan tidak bertanding semula.
  • Calvin Coolidge, yang berkhidmat dari 1976 hingga 1980, tidak bertanding semula selepas menamatkan satu penggal separa (berikutan kematian Warren G. Harding) dan satu penggal penuh.
  • Harry S. Truman, yang berkhidmat dari 1945 hingga 1953, memutuskan untuk tidak bertanding semula selepas menjalani baki penggal keempat Franklin D. Roosevelt dan penggal penuhnya sendiri.
  • Lyndon B. Johnson, yang berkhidmat dari 1963 hingga 1969, tidak bertanding semula selepas menamatkan satu penggal separa (berikutan pembunuhan John F. Kennedy) dan satu penggal penuh.

Pindaan ke-22 dalam Perlembagaan Amerika Syarikat untuk menghadkan Presiden kepada dua penggal penuh telah diluluskan oleh Kongres pada tahun 1947 dan diterima pakai secara rasmi oleh negeri-negeri pada tahun 1951. Pindaan itu menetapkan peraturan bahawa tiada Presiden boleh memegang jawatan lebih daripada dua penggal penuh. Sebelum Pindaan itu, ramai Presiden berpegang kepada tradisi tidak bertulis iaitu berkhidmat hanya dua penggal. Tradisi berkhidmat hanya dua penggal tersebut bermula dengan George Washington yang secara sukarela berundur selepas berkhidmat dua penggal.

Biden sebagai calon pembuka jalan kepada pemimpin muda

Pada pilihan raya presiden 2020, Biden meletakkan dirinya sebagai tokoh peralihan yang akan membuka jalan kepada pemimpin muda. Beliau melihat peranannya sebagai menghubungkan kepimpinan terkini kepada generasi akan datang.[12] Walaupun begitu, Biden menafikan laporan akhbar Politico yang mencadangkan beliau mempertimbangkan janji untuk berkhidmat hanya satu penggal sebagai Presiden.[13] Menjelang pilihan raya presiden 2024, kempen pemilihan semula Biden menghadapi kesukaran yang ketara. Axios memetik Anthony Fowler, seorang sarjana, yang mencadangkan Biden cuba mengimbangi dua mesej yang bercanggah. Di satu pihak, beliau cuba meyakinkan pengundi bahawa beliau mungkin hanya berkhidmat satu penggal, manakala di sisi lain, beliau mengelak daripada membuat janji muktamad untuk kesan itu. Situasi ini menunjukkan satu strategi di mana Biden mahu merayu kepada kedua-dua pihak yang memilih beliau sebagai pemimpin jangka pendek dan mereka yang mungkin mahu beliau terus berkhidmat melebihi satu penggal.[14]

Pencalonan Biden

Pada 25 April 2023, selepas beberapa bulan spekulasi beredar,[15][16] Biden secara rasmi mengisytiharkan akan bertanding untuk penggal kedua pada pilihan raya presiden 2024. Beliau mengesahkan Kamala Harris, yang berkhidmat sebagai Naib Presiden semasa penggal pertamanya, akan terus menjadi gandingannya dalam kempen pilihan raya 2024. Masa pengumuman kempen pemilihan semula Biden dianggap penting kerana ia berlaku tepat empat tahun selepas beliau memulakan kempennya untuk pilihan raya presiden 2020 yang dimenanginya.[1] Tinjauan Gallup dikeluarkan pada hari pengumuman Biden tersebut menunjukkan bahawa hanya 37% rakyat yang dikaji menyetujui prestasi beliau sebagai Presiden pada masa itu. Tinjauan itu juga mendedahkan bahawa ekonomi ialah isu utama dalam fikiran majoriti responden.[17] Dalam kempen pemilihan semulanya, Biden menekankan rancangannya untuk meningkatkan ekonomi terutamanya dengan memupuk pertumbuhan dan meneruskan usaha pemulihan berikutan kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.[18][19] "Finish the job" ("Selesaikan tugas") ialah slogan yang sering digunakan oleh Biden semasa kempennya. Beliau percaya pentadbirannya telah mencapai kemajuan yang ketara dalam bidang tertentu tetapi lebih banyak kerja perlu dilakukan.[1][20][21]

Semasa kempennya, Biden mengutamakan mempertahankan dan memelihara prinsip demokrasi di Amerika Syarikat.[22][23] Selepas keputusan Mahkamah Agung untuk membatalkan Roe lwn. Wade, yang sebelum ini menghalalkan pengguguran di seluruh negara, Biden berhasrat untuk mengembalikan hak persekutuan untuk pengguguran.[24] Beliau merancang untuk memperuntukkan lebih banyak sumber kewangan untuk meningkatkan operasi rondaan sempadan dan keselamatan keseluruhan di sempadan Amerika Syarikat.[24][25] Beliau bercadang untuk meningkatkan sokongan kewangan untuk agensi penguatkuasaan undang-undang di samping meneruskan pembaharuan dalam sistem polis.[26] Biden komited untuk memperjuangkan hak individu LGBT.[24] Beliau sering menekankan kejayaan penggubalan langkah perundangan penting seperti Akta Pelaburan Infrastruktur dan Pekerjaan yang tertumpu kepada penambahbaikan infrastruktur negara sambil mewujudkan peluang pekerjaan. Selain itu, beliau menekankan Akta Cip dan Sains yang bertujuan meningkatkan pengeluaran semikonduktor (cip) Amerika Syarikat dan memajukan penyelidikan saintifik. Akta Pengurangan Inflasi turut diperkenalkan yang menyasarkan pelbagai isu ekonomi, termasuk usaha mengurangkan inflasi dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Akta Pengurangan Inflasi amat terkenal dengan komitmen kewangannya yang penting untuk menangani perubahan iklim.[27][28][29]

Biden menekankan kepentingan membina semula dan mengukuhkan hubungan dengan negara lain sebagai objektif utama dasar luar beliau.[30] Beliau komited untuk mengekalkan sokongan Amerika Syarikat kepada Ukraine dalam menghadapi pencerobohan tentera Rusia dan untuk Israel berikutan konflik mereka dengan Hamas. Beliau berkata bahawa pakatan dengan negara seperti Ukraine dan Israel adalah "penting" untuk keselamatan dan keamanan Amerika Syarikat. Biden berikrar menangani isu keganasan senjata api di Amerika Syarikat secara berterusan. Beliau komited untuk melindungi Akta Penjagaan Kesihatan Mampu Milik (ACA). Janji ini adalah sebagai tindak balas kepada cadangan bekas Presiden Donald Trump untuk memansuhkan akta tersebut, satu langkah yang ditentang Biden kerana beliau percaya undang-undang itu penting untuk memastikan akses kepada penjagaan kesihatan.[31][24] Biden memperkenalkan cadangan untuk mengenakan cukai minimum ke atas bilionair yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan daripada rakyat Amerika Syarikat yang paling kaya. Tujuan cukai ini adalah untuk membantu mengurangkan defisit belanjawan negara dan menjana dana yang boleh digunakan untuk menyokong perkhidmatan sosial untuk rakyat berpendapatan rendah.[32][24]

Dasar perdagangan Biden menyimpang daripada strategi ekonomi neoliberal tipikal yang telah dominan dalam dasar Amerika Syarikat selama beberapa dekad. Neoliberalisme biasanya menekankan dasar pasaran bebas, penyahkawalseliaan, dan globalisasi yang sering mengakibatkan perpindahan pekerjaan pembuatan ke luar negara. Situasi tersebut menyumbang kepada ketidakpuasan ekonomi yang membawa kepada tindak balas populis di mana ramai rakyat, terutamanya di kawasan yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan, mula menyokong gerakan politik populis yang menentang dasar ekonomi ini.[33] Biden juga melaksanakan cukai ke atas barangan import yang khusus menyasarkan industri utama di China. Tarif ini bertujuan untuk melindungi pekerjaan pembuatan Amerika Syarikat daripada terjejas oleh import China yang lebih murah. Selain itu, ia bertujuan untuk mengekang pengaruh China yang semakin meningkat dalam sektor teknologi dan ketenteraan, yang dilihat sebagai ancaman kepada kepentingan Amerika Syarikat.[34] Biden tidak secara rasmi muncul sebagai calon dalam kertas undi untuk pemilihan parti di New Hampshire yang diadakan pada 23 Januari. Bagaimanapun, perwakilan masih boleh menyokong beliau dengan menulis namanya pada kertas undi. Dalam pemilihan parti tersebut, Biden memenangi majoriti besar undi di mana 63.8% perwakilan memilih beliau. Beliau menggemari Carolina Selatan mengadakan pemilihan parti pertama dalam musim pilihan raya. Apabila pemilihan parti berlangsung pada 3 Februari, beliau menang besar apabila menerima 96.2% undian.[35] Dalam pemilihan parti di Nevada, Biden memperoleh 89.3% undi. Di Michigan, beliau menerima 81.1% undian. Di kedua-dua negeri, pilihan sama ada pengundi tidak memilih mana-mana calon yang ada dan pengundi tidak komited kepada mana-mana calon tertentu adalah pilihan kedua paling popular tetapi mereka masih menerima undi yang jauh lebih sedikit daripada Biden. Pada hari Super Tuesday, yang merupakan hari kritikal dalam pemilihan parti di Amerika Syarikat apabila beberapa negeri mengadakan pemilihan parti, Biden memenangi 15 daripada 16 pemilihan parti negeri. Di 13 negeri itu, Biden menerima sekurang-kurangnya 80% undi.[36][37] Menjelang 12 Mac, Biden telah memenangi cukup perwakilan iaitu 1,968 atau lebih perwakilan untuk mendapat pencalonan Parti Demokrat menjadi calon Presiden. Beliau hampir pasti akan menjadi calon rasmi Parti Demokrat dalam pilihan raya 2024.[38][39]

Usia dan kesihatan Biden

Ketika Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat, beliau berusia 78 tahun. Biden ialah individu tertua pernah memegang jawatan sebagai Presiden pada masa beliau mengangkat sumpah.[40] Beliau lebih tua ketika memulakan pentadbirannya berbanding Ronald Reagan yang hanya berusia 73 tahun ketika mengakhiri penggal kedua beliau. Semasa pentadbiran Biden, rakyat menyuarakan kebimbangan mengenai kesihatan beliau terutamanya kerana usia beliau. Terdapat perbincangan dan kebimbangan sama ada beliau akan dapat menangani tuntutan penggal kedua sebagai Presiden jika beliau mahu mendapatkan semula mandat pada pilihan raya 2024. Sebuah penerbitan bernama Journal on Active Aging melaporkan bahawa Biden mempunyai profil kesihatan yang luar biasa baik untuk seseorang yang sebaya dengannya. Selain itu, Dr. Kevin O'Connor, doktor peribadi kepada Biden, menilai kesihatan fizikalnya dan mengesahkan bahawa Biden berada dalam keadaan baik.[41] Dan Zak, seorang penulis The Washington Post, menggunakan istilah "gerontokrasi" untuk menggambarkan kerajaan Amerika Syarikat selepas Biden menjadi Presiden.[42] "Gerontokrasi" ialah sistem kerajaan di mana kepimpinannya dianggap didominasi oleh individu yang lebih tua.

Pada Julai 2024, The New York Times menerbitkan laporan yang menyatakan Dr. Kevin Cannard, pakar neurologi yang pakar dalam gangguan pergerakan seperti penyakit Parkinson, telah melawat Rumah Putih sebanyak lapan kali sepanjang lapan bulan sebelumnya. Lawatan ini termasuk sekurang-kurangnya satu pertemuan dengan O'Connor.[43] Laporan itu menimbulkan kontroversi kerana O'Connor mencabar ketepatannya. Beliau menegaskan bahawa lawatan Cannard bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana beliau juga telah melakukan perkara demikian semasa pentadbiran Barack Obama. Selain itu, O'Connor berkata bahawa beberapa kakitangan Rumah Putih mempunyai masalah saraf mereka sendiri.[44]

Sesi debat bersama Trump

Pada 27 Jun 2024, Biden dan lawannya, bekas Presiden Donald Trump, menyertai sesi debat yang disiarkan di televisyen sebagai sebahagian daripada pilihan raya presiden 2024. Prestasi Biden semasa sesi debat tersebut berdepan kritikan atas beberapa sebab: beliau kelihatan goyah, suaranya serak dan sukar untuk mengingati statistik tertentu serta sukar mengutarakan pandangannya dengan jelas dalam pelbagai perkara. Pelbagai media seperti The Hill, CNN, Politico, The New York Times, USA Today, Business Insider, dan Vox membuat kesimpulan bahawa Trump memenangi sesi debat itu berdasarkan analisis dan pendapat mereka. Kolumnis MSNBC, The Cook Political Report, The Guardian, dan Los Angeles Times mengambil pandangan berbeza. Mereka mengatakan bahawa walaupun Trump mungkin bukan pemenang langsung, prestasi Biden adalah sangat buruk. Ramai yang menyatakan bahawa Biden telah "sememangnya kalah" dalam sesi debat itu. Tinjauan pendapat umum berikutan debat itu menunjukkan majoriti rakyat berpendapat Trump telah memenangi sesi debat itu. Selepas sesi debat itu, prestasi kurang memberangsangkan Biden membawa kepada kebimbangan yang ketara dalam kalangan ahli Parti Demokrat. Ramai dalam parti itu disifatkan sebagai "panik" dan menggesa Biden mempertimbangkan untuk menarik balik pencalonannya. Keadaan ini menimbulkan ketidakstabilan politik dalam Parti Demokrat. Media menggelar situasi tersebut sebagai "krisis Biden".

Perkembangan

Pada 17 Julai, ABC News melaporkan bahawa dua pemimpin utama Parti Demokrat, Hakeem Jeffries dan Chuck Schumer, telah mengadakan pertemuan berasingan dengan Biden pada 12 dan 13 Julai. Dalam pertemuan ini, mereka menyampaikan kebimbangan mereka tentang prestasi Parti Demokrat yang merosot di Kongres. Semasa pertemuan dengan Schumer, Biden dilaporkan berkata beliau memerlukan beberapa minggu lagi untuk membuat keputusan. Pada hari yang sama, terdapat laporan bahawa Jeffrey Katzenberg, yang merupakan pengerusi bersama kempen Biden, memberi amaran kepada Presiden bahawa beberapa penderma berat hati untuk memberikan derma kepada kempennya. Walau bagaimanapun, Katzenberg kemudiannya mempertikaikan tafsiran perbualan mereka ini. Beliau berkata keadaan mungkin tidak begitu teruk atau butiran perbincangan disalah faham.

Pada petang itu, Biden disahkan positif COVID-19. Gejala dialami beliau adalah ringan. Beliau hanya mengalami batuk, selsema dan rasa tidak selesa. Gambar-gambar yang menunjukkan Biden kelihatan lemah ketika meninggalkan pesawatnya untuk mengasingkan diri di kediamannya di Delaware telah mencetuskan lebih banyak khabar angin dan kebimbangan mengenai kesihatannya. The New York Times melaporkan BIden semakin terbuka dengan gesaan untuk menarik balik pencalonannya. Dalam perbualan telefon, bekas Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi, menyatakan keraguan dan kebimbangannya tentang peluang Biden. Pelosi tidak yakin bahawa Biden boleh berjaya dalam pilihan raya 2024. Pada 18 Julai, Axios melaporkan bahawa ramai ahli Parti Demokrat menyangka Biden akan menarik diri daripada pilihan raya. Mereka berfikiran demikian disebabkan adanya tekanan daripada pemimpin utama parti seperti Jeffries dan Schumer, serta tinjauan dalaman dan kritikan meluas terhadap kempen beliau. The New York Times juga melaporkan bahawa Biden serius mempertimbangkan untuk menarik diri daripada pilihan raya sekali gus menambah spekulasi bahawa kempennya mungkin berakhir. Pada 20 Julai, CNN melaporkan Biden bertemu dengan penasihatnya, Steve Ricchetti dan Mike Donilon. Dalam pertemuan itu, mereka menilai keadaan dan mendapati kempen Biden berada dalam situasi yang sangat teruk dengan sokongan yang merosot termasuk dari dalam Parti Demokrat sendiri. Mereka bersetuju bahawa tiada strategi boleh mengubah keadaan ini. Pada petang yang sama, Biden mula merancang untuk menarik diri daripada pilihan raya dan membincangkan logistik dan implikasi dengan penasihat dan pembantu rapatnya, termasuk Ricchetti dan Donilon. Keesokan paginya, 21 Julai, Biden membuat keputusan muktamad untuk menarik diri daripada pilihan raya.

Sebelum Biden secara rasmi menarik diri, istilah "Joever" sering digunakan oleh pengkritiknya dan media untuk menggambarkan kempen Biden yang dilihat semakin lemah atau hampir berakhir. Istilah "Joever" ialah gabungan dua perkataan, "Joe" (merujuk kepada nama hadapan Biden) dan "over" (bermaksud tamat), yang menunjukkan bahawa kempen atau kerjaya politik Biden telah tamat. Istilah ini pertama kali muncul di 4chan, sebuah forum dalam talian yang terkenal dengan meme politik, pada 2020. Selepas prestasi hambar Biden dalam sesi debat, penggunaan istilah "Joever" mendapat populariti di media sosial serta dalam liputan berita, di mana ramai mula meramalkan bahawa kempennya mungkin hampir tamat.

Reaksi daripada kempen Biden

Walaupun berdepan kritikan, kempen Biden terus berjalan agar Biden dicalonkan semula. Mereka mahu mengelak tekanan supaya Biden tidak menarik diri dengan menunggu sehingga beliau boleh dicalonkan secara rasmi dalam undian maya di Konvensyen Kebangsaan Parti Demokrat.

Untuk menjawab kritikan dan mengukuhkan kempen, Biden mencadangkan beberapa perubahan. Beliau mahu mengehadkan tempoh Hakim Mahkamah Agung. Biden juga mahu mengubah Perlembagaan agar mana-mana Presiden juga boleh dikenakan tindakan undang-undang. Biden juga ingin melarang senjata serangan untuk mengurangkan keganasan, dan mengehadkan kenaikan sewa agar harga rumah menjadi lebih mampu milik dan rakyat tidak terbeban dengan sewa yang tinggi.

Rujukan

  1. ^ a b c Miller, Zeke (April 25, 2023). "Biden announces 2024 reelection bid: 'Let's finish this job'". Associated Press (dalam bahasa Inggeris). Washington, D.C. Diarkibkan daripada yang asal pada July 28, 2024. Dicapai pada July 28, 2024.
  2. ^
    • Holland, Steve; Reid, Tim; Morgan, David. "Biden acknowledges age, bad debate performance but vows to beat Trump". Reuters. Dicapai pada June 29, 2024.
    • Miller, Zeke; Price, Michelle L.; Weissert, Will; Barrow, Bill; Superville, Darlene (June 27, 2024). "A halting Biden tries to confront Trump at debate but stirs Democratic panic about his candidacy". Associated Press News. Diarkibkan daripada yang asal pada June 28, 2024. Dicapai pada June 28, 2024.
    • Kashinsky, Lisa; Cancryn, Adam; Daniels, Eugene (June 28, 2024). "Dems freak out over Biden's debate performance: 'Biden is toast'". Politico. Diarkibkan daripada yang asal pada June 28, 2024. Dicapai pada June 28, 2024.
  3. ^ Allen, Jonathan (June 28, 2024). "Some Democrats start calling for Biden to step aside and 'throw in the towel' on 2024". NBC News. Diarkibkan daripada yang asal pada June 28, 2024. Dicapai pada June 29, 2024.
  4. ^ "To Serve His Country, President Biden Should Leave the Race". The New York Times. June 28, 2024. ISSN 0362-4331. Diarkibkan daripada yang asal pada June 28, 2024. Dicapai pada June 28, 2024.
  5. ^ Robertson, Nick (June 30, 2024). "These major media outlets have called for Biden to drop out". The Hill. Diarkibkan daripada yang asal pada July 6, 2024. Dicapai pada July 1, 2024.
  6. ^ Tait, Robert; Gambino, Lauren (July 19, 2024). "Pressure mounts on Biden as tally of Democrats urging withdrawal passes 30". The Guardian. ISSN 0261-3077. Diarkibkan daripada yang asal pada July 22, 2024. Dicapai pada July 22, 2024.
  7. ^ Keith, Tamara; Shivaram, Deepa (July 3, 2024). "'I'm in this race to the end,' Biden tells campaign staffers". NPR. Diarkibkan daripada yang asal pada July 3, 2024. Dicapai pada July 3, 2024.
  8. ^ Shear, Michael D. (July 21, 2024). "Live Updates: Biden Drops Out of Presidential Race, Endorses Harris". The New York Times. ISSN 0362-4331. Diarkibkan daripada yang asal pada July 21, 2024. Dicapai pada July 21, 2024.
  9. ^ Klassen, Thomas (July 21, 2024). "Biden steps aside, setting in motion an unprecedented period in American politics". The Conversation. Diarkibkan daripada yang asal pada July 22, 2024. Dicapai pada July 24, 2024.
  10. ^ Kenning, Chris; Samuelsohn, Darren. "'It's unprecedented': Biden's exit is a history-making moment in the American presidency". USA Today. Diarkibkan daripada yang asal pada July 25, 2024. Dicapai pada July 23, 2024.
  11. ^ "US presidents who did not seek reelection". Voice of America (dalam bahasa Inggeris). July 23, 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada July 25, 2024. Dicapai pada July 24, 2024.
  12. ^ Bradner, Eric; Mucha, Sarah (March 9, 2020). "Biden says he's a 'bridge' to new 'generation of leaders' while campaigning with Harris, Booker, Whitmer". CNN. Diarkibkan daripada yang asal pada July 24, 2024. Dicapai pada July 24, 2024. 'Look, I view myself as a bridge, not as anything else,' Biden said. 'There's an entire generation of leaders you saw stand behind me. They are the future of this country.'
  13. ^ Nagle, Molly (2019-12-11). "Joe Biden denies he is mulling a one-term pledge if elected president". ABC News (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 August 2024.
  14. ^ Saric, Ivana (July 18, 2024). "How Biden went from 'bridge' candidate to two-term hopeful". Axios. Diarkibkan daripada yang asal pada July 25, 2024. Dicapai pada July 24, 2024.
  15. ^ Martin, Jonathan (December 13, 2022). "Why the 2024 Race Is Eerily Quiet". Politico. Diarkibkan daripada yang asal pada July 22, 2024. Dicapai pada July 26, 2023.
  16. ^ Cordes, Nancy; O'Keefe, Ed; Gomez, Fin (January 19, 2023). "Biden likely to announce 2024 reelection bid not long after State of the Union address". CBS. Diarkibkan daripada yang asal pada July 22, 2024. Dicapai pada July 26, 2023.
  17. ^ Jones, Jeffrey M. (April 27, 2023). "Biden Begins Reelection Bid at Low Point in His Presidency". Gallup Inc. Diarkibkan daripada yang asal pada July 26, 2023. Dicapai pada July 26, 2023.
  18. ^ "Bidenomics: President Biden and Congressional Democrats' Plan to Grow the Economy from the Bottom Up and Middle Out, Not the Top Down, Is Delivering for the American People" (PDF). White House. June 22, 2023. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada June 27, 2023. Dicapai pada June 28, 2023.
  19. ^ Marquez, Alexandra; Bowman, Bridget; Kamisar, Ben (July 20, 2023). "Eyes on 2024: Bidenomics back on the campaign trail". NBC News. Diarkibkan daripada yang asal pada July 28, 2023. Dicapai pada July 26, 2023.
  20. ^ "'It's Time to Finish the Job,' Biden Tells Union Workers as He Starts '24 Race". The New York Times. April 25, 2023. Diarkibkan daripada yang asal pada April 25, 2023. Dicapai pada January 7, 2024.
  21. ^ Lemire, Jonathan (February 7, 2023). "Biden urges GOP lawmakers to 'finish the job' and takes a few swipes at them too". Politico. Diarkibkan daripada yang asal pada May 11, 2024. Dicapai pada May 11, 2024.
  22. ^ Epstein, Reid J. (January 5, 2024). "Biden Condemns Trump as Dire Threat to Democracy in a Blistering Speech". New York Times. Diarkibkan daripada yang asal pada January 6, 2024. Dicapai pada January 6, 2024.
  23. ^ "Transcript: Biden's first campaign speech of the 2024 election year". Associated Press. January 5, 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada July 22, 2024. Dicapai pada January 6, 2024.
  24. ^ a b c d e Megerian, Chris (November 12, 2023). "Joe Biden wants to complete his goals on civil rights, taxes, and social services if he's reelected". Associated Press. Diarkibkan daripada yang asal pada January 7, 2024. Dicapai pada January 6, 2024.
  25. ^ Nichols, Hans (February 6, 2024). "Biden pledges to campaign "every day" on Trump's border meddling". Axios. Diarkibkan daripada yang asal pada July 18, 2024. Dicapai pada July 21, 2024.
  26. ^ Kanno-Youngs, Zolan; Broadwater, Luke (February 8, 2023). "Many of Biden's Goals on Police Reform Are Still Incomplete". New York Times. Diarkibkan daripada yang asal pada July 22, 2024. Dicapai pada January 7, 2024.
  27. ^ Dennis, Brady (August 14, 2022). "As Congress funds high-tech climate solutions, it also bets on a low-tech one: Nature". The Washington Post. Diarkibkan daripada yang asal pada March 7, 2023. Dicapai pada August 29, 2022.
  28. ^ Kaufman, Anna (September 23, 2022). "What is the Inflation Reduction Act 2022? Answering your common questions about the bill". USA Today. Diarkibkan daripada yang asal pada March 9, 2023. Dicapai pada March 9, 2023.
  29. ^ Sasso, Michael (January 11, 2024). "What Is Bidenomics? It Depends If You're a Democrat or Republican". Bloomberg News. Diarkibkan daripada yang asal pada January 11, 2024. Dicapai pada January 20, 2024.
  30. ^ Madhani, Aamer (February 19, 2021). "Biden declares 'America is back' in welcome words to allies". Associated Press. Diarkibkan daripada yang asal pada March 6, 2021. Dicapai pada January 10, 2024.
  31. ^ Reid J. Epstein (November 27, 2023). "Biden Campaign Aims to Weaponize Trump's Threat to Obamacare". New York Times. Diarkibkan daripada yang asal pada January 7, 2024. Dicapai pada January 6, 2024.
  32. ^ Hussein, Fatima (March 29, 2022). "EXPLAINER: How would billionaire income tax work?". Associated Press. Diarkibkan daripada yang asal pada January 8, 2024. Dicapai pada January 7, 2024.
  33. ^ Bade, Gavin (September 8, 2023). "'Bidenomics' is going global. The world is skeptical". Politico. Diarkibkan daripada yang asal pada January 19, 2024. Dicapai pada January 20, 2024.
  34. ^ Boak, Josh; Hussein, Fatima; Wiseman, Paul; Tang, Didi (May 14, 2024). "Biden hikes tariffs on Chinese EVs, solar cells, steel, aluminum — and snipes at Trump". The Associated Press. Diarkibkan daripada yang asal pada May 23, 2024. Dicapai pada May 23, 2024.
  35. ^ "South Carolina Democratic Primary Results". The New York Times. February 3, 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada February 3, 2024. Dicapai pada February 4, 2024.
  36. ^ "2024 U.S. Election – Latest News and Updates on Presidential and State Races". Yahoo!. Diarkibkan daripada yang asal pada July 20, 2024. Dicapai pada July 21, 2024.
  37. ^ "Super Tuesday Results: Key Races to Watch". The New York Times. March 5, 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada May 30, 2024. Dicapai pada July 21, 2024.
  38. ^ Schneider, Elena (March 12, 2024). "Biden officially clinches Democratic nomination for president". Politico. Diarkibkan daripada yang asal pada May 10, 2024. Dicapai pada July 21, 2024.
  39. ^ Yoon, Robert; Sweedler, Maya (March 12, 2024). "How Biden won enough delegates for another Democratic presidential nomination". Associated Press. Diarkibkan daripada yang asal pada May 11, 2024. Dicapai pada May 11, 2024.
  40. ^ Dovere, Edward-Isaac (January 21, 2021). "The Biden Generation's Last Chance". The Atlantic. Diarkibkan daripada yang asal pada July 19, 2024. Dicapai pada July 16, 2024.
  41. ^ Sadeghi, McKenzie (January 5, 2021). "False news report indicates Biden plans to step down as president-elect". USA Today. Diarkibkan daripada yang asal pada July 18, 2024. Dicapai pada July 16, 2024.
  42. ^ Zak, Dan (January 12, 2021). "Joe Biden, 78, will lead an American gerontocracy". The Washington Post. Diarkibkan daripada yang asal pada February 2, 2021. Dicapai pada July 16, 2024.
  43. ^ Baumgaertner, Emily; Baker, Peter (July 8, 2024). "Parkinson's Expert Visited the White House Eight Times in Eight Months". The New York Times. Diarkibkan daripada yang asal pada July 18, 2024. Dicapai pada July 20, 2024.
  44. ^ Bump, Philip (July 9, 2024). "The Biden-Parkinson's mini-controversy, explained". The Washington Post. Diarkibkan daripada yang asal pada July 22, 2024. Dicapai pada July 20, 2024.

Pautan luar

  • Catatan dari Joe Biden di X (sebelum ini Twitter) mengumumkan penarikan dirinya (diarkibkan)