Perang saraf

Contoh risalah era Perang Dunia Kedua yang dijatuhkan daripada pesawat Amerika Syarikat di bandar Jerman. Risalah ini menyoal orang awam jika mereka mahu perang total dan Jerman binasa atau jika mereka inginkan masa depan yang aman.

Perang saraf, peperangan psikologi atau perang urat saraf, juga dipanggil operasi atau pengendalian psikologi (PSYOP), merupakan strategi perang yang menggunakan psikologi[1] dan propaganda[2][3] untuk melemahkan semangat musuh dan orang awam serta menghancurkan tekad mereka untuk berperang. Ia digunakan sebelum atau semasa peperangan untuk mencegah atau memenangkan konflik tersebut dengan cara menggertak, mengancam dan menakut-nakuti tanpa perlu benar-benar menyerang dengan senjata secara langsung. Matlamatnya adalah untuk mencapai kemenangan tanpa perlu melibatkan pertempuran fizikal.

Pelbagai teknik digunakan, dan bertujuan untuk mempengaruhi sistem nilai, sistem kepercayaan, emosi, motif, pertimbangan atau tingkah laku sasaran. Ia digunakan untuk mendapatkan pengakuan atau mengukuhkan sikap-sikap dan tingkah laku yang dingini pihak yang melakukan perang saraf, dan kadangkala digabungkan dengan operasi hitam atau taktik bendera palsu. Ia juga digunakan untuk memusnahkan semangat musuh dengan taktik-taktik yang menekan keadaan mental tentera.[4][5]

Contoh-contoh sasaran termasuk kerajaan, organisasi, kelompok sosial dan individu, bukan sahaja askar. Orang awam di wilayah asing juga boleh disasarkan dengan teknologi dan media untuk memberi kesan terhadap kerajaan negara mereka.[6]

Media komunikasi massa seperti radio membenarkan komunikasi langsung dengan orang ramai dalam kawasan musuh, justeru ia telah diperalat dalam banyak kes. Platform-platform media sosial dan internet membenarkan kempen maklumat salah dan kempen maklumat palsu dilaksanakan oleh ejen-ejen dari mana-mana di dunia.[7]

Kaedah

Pakar PSYOP Tentera AS menyediakan sistem pembesar suara untuk menyiarkan mesej kepada penduduk Narizah, Afghanistan.

Istilah perang saraf boleh merujuk kepada kaedah-kaedah dalam bidang tentera yang berikut:

  • Mematahkan semangat:
    • Mengedarkan risalah yang menggalakkan pembolosan atau memberikan arahan cara untuk menyerah diri.
    • Strategi kejutan dan penggempuran.
    • Memainkan bunyi yang menggerunkan dan muzik secara berulang kali buat jangka masa yang lama dengan lantang terhadap musuh yang dikepung, seperti Operasi al-Maunah tahun 2000 di Bukit Jenalik, Perak.
  • Stesen radio propaganda, seperti Lord Haw-Haw dalam Perang Dunia II di stesen "Panggilan Jerman".
  • Kejadian-kejadian bendera palsu.
  • Kepengganasan[8]
  • Ancaman senjata kimia.[9]
  • Peperangan maklumat.

Kebanyakan teknik ini dibangunkan semasa atau sebelum Perang Dunia Kedua, dan telah digunakan dalam setiap konflik sejak itu pada tahap-tahap tertentu. Daniel Lerner ketika itu memegang jawatan dalam OSS (Pejabat Perkhidmatan Strategik, pendahulu kepada CIA Amerika Syarikat) dan dalam buku beliau, beliau cuba menganalisis betapa berkesannya pelbagai strategi itu. Beliau menyimpulkan bahawa terdapat tidak banyak bukti yang menunjukkan mana-mana strategi itu berkesan, kecuali arahan menyuruh musuh serah diri dengan pembesar suara apabila kemenangan sudah hampir. Mengukur kejayaan atau kegagalan perang saraf adalah sangat sukar, kerana suasananya bukan eksperimen terkawal.

Lerner juga membahagikan operasi-operasi perang saraf kepada tiga kategori:[10][halaman diperlukan]

  • Propaganda putih (peninggalan dan penekanan maklumat): Benar dan tidak berat sebelah, sumber maklumat diakui.
  • Propaganda kelabu (peninggalan, penekanan dan berat sebelah maklumat dalam hal kaum/etnik/agama): Sebahagian besarnya benar, tidak mengandungi maklumat yang boleh dibuktikan salah; sumbernya tidak dikenal pasti.
  • Propaganda hitam (maklumat palsuan): Bohong semata-mata, maklumat yang diberi tidak tepat dan dikaitkan dengan sumber palsu.

Lerner menyatakan bahawa operasi kelabu dan hitam mempunyai risiko yang tinggi, kerana sasaran lambat laun mungkin sedar ia adalah propaganda dan berhenti mempercayainya. Beliau menulis, "Ini salah satu dogma yang dikemukakan oleh jaguh-jaguh perang saraf yang mungkin akan kekal sebagai prinsip propaganda: Kredibiliti adalah syarat pujukan. Sebelum dapat membuat seseorang mengikut cakap anda, anda mesti membuatnya percaya apa yang anda katakan."[11]:28  Selaras dengan idea ini, kebanyakannya strategi Kuasa Berikat dalam Perang Dunia Kedua menggunakan kebenaran (dengan beberapa pengecualian).[perlu rujukan]

Dalam Propaganda: The Formation of Men's Attitudes, Jacques Ellul membincangkan perang saraf yang digunakan oleh negara-negara untuk serang-menyerang secara tidak langsung, sambil berpura-pura menjaga keamanan. Propaganda jenis ini melemahkan sokongan orang ramai terhadap kerajaan musuh dengan melucutkan kuasanya dalam mata khalayak awam. Pencerobohan jenis ini sukar dihalang kerana tiada mahkamah atau undang-undang yang boleh melindungi daripada serangan psikologi.

"Golongan propagandis cuba menghancurkan semangat musuh asingnya dengan cara psikologi supaya musuhnya mula meragui kebenaran kepercayaan dan tindakan sendiri."[12][13]

Kepengganasan

Menurut Boaz Ganor, ahli sains politik, kepengganasan atau terorisme menggugat keselamatan dan mengganggu kehidupan seharian, menjejaskan keupayaan negara sasaran untuk berfungsi. Kepengganasan ialah strategi mempengaruhi pendapat umum untuk menekan para pemimpin supaya menerima tuntutan kumpulan pengganas, dan rakyat menjadi alat untuk memajukan agenda politik.[8]

Mengikut negara

Amerika Syarikat

U.S. Army soldier hands out a newspaper to a local in Mosul, Iraq.

Istilah "perang psikologi" dipercayai telah datang dari Jerman ke Amerika Syarikat pada tahun 1941.[14] Semasa Perang Dunia Kedua, Ketua Turus Bersama Amerika Syarikat mentakrifkan peperangan psikologi secara luas, "Peperangan psikologi menggunakan apa-apa senjata untuk mempengaruhi minda musuh. Senjata itu bersifat psikologi hanya dalam kesan yang ia hasilkan dan bukan kerana senjata itu sendiri." Jabatan Pertahanan A.S. (DoD) pada masa kini mentakrifkan peperangan psikologi sebagai:

Pasukan pembesar suara Tentera A.S. sedang beraksi di Korea

"Penggunaan propaganda dan tindakan bersifat psikologi lain yang terancang dengan tujuan utama adalah untuk mempengaruhi pendapat, emosi, sikap, dan tingkah laku kumpulan-kumpulan musuh asing dalam cara yang dapat menyokong objektif negara dicapai."[15]

Takrifan ini menunjukkan bahawa elemen penting dalam keupayaan perang saraf AS termasuk propaganda dan juga propaganda balas. Penerbitan Bersama 3–53 menetapkan dasar yang khusus dalam menggunakan media-media hal ehwal awam untuk menentang propaganda asing.[16]

Tujuan operasi psikologi Amerika Syarikat adalah untuk menimbulkan atau mengukuhkan sikap-sikap dan tingkah laku yang memihak kepada objektif AS. Pusat Aktiviti Khas (SAC) ialah satu divisyen Direktorat Operasi CIA, yang bertanggungjawab untuk Tindakan Tersembunyi dan "Kegiatan Khas". Kegiatan-kegiatan khas ini termasuk pengaruh politik terselindung (yang termasuk perang saraf) dan operasi-operasi separa tentera.[17] Kumpulan pemengaruh politik SAC adalah satu-satunya unit AS yang dibenarkan menjalankan operasi ini secara rahsia dan dianggap sebagai unit utama dalam bidang ini[18]

Unit-unit perang saraf yang khusus wujud dalam Tentera Darat dan Kor Marin Amerika Syarikat. Tentera Laut AS dan Sayap Operasi Khas ke-193 Tentera Udara AS juga merancang dan melaksanakan segelintir misi-misi perang saraf. Unit perang saraf Amerika Syarikat dan askar daripada semua cabang tentera dilarang oleh undang-undang daripada menyasarkan warga AS dengan perang saraf dalam sempadan Amerika Syarikat (Perintah Eksekutif S-1233, Arahan DOD S-3321.1, dan Arahan Keputusan Keselamatan Negara 130). Walaupun unit PSYOP Tentera Amerika Syarikat dapat memberi sokongan selain PSYOP kepada misi-misi ketenteraan dalam negeri, mereka hanya boleh menyasarkan khalayak asing.

Manual lapangan Tentera A.S. yang dikeluarkan pada Januari 2013 menyatakan berkongsi maklumat dan mempengaruhi orang lain adalah penting untuk menerangkan, mengarah dan mengetuai operasi-operasi ketenteraan. Beberapa kakitangan kepimpinan Divisyen Tentera ditugaskan untuk "merancang, menyepadukan dan menyegerakkan semua keupayaan yang berkaitan dengan maklumat berfungsi dengan baik."[19]

Pada September 2022, DoD melancarkan satu audit bagi perang maklumat rahsia selepas syarikat-syarikat media sosial memperasani AS menjalankan sebuah operasi ketenteraan.[20]

China

Menurut penganalisis tentera AS, menyerang minda musuh ialah elemen penting dalam strategi ketenteraan Republik Rakyat China.[21][22][23] Peperangan jenis ini berakar umbi daripada taktik-taktik klasik Cina yang digariskan oleh Sun Tzu dalam Seni Peperangan dan Tiga Puluh Enam Muslihat. Apabila berurusan dengan pesaing, China berkemungkinan akan menggunakan Marxisme untuk mendapat sokongan daripada penyokong komunis, dan juga menggunakan kekuatan ekonomi dan ketenteraannya untuk meyakinkan negara lain untuk bertindak demi kepentingan kerajaan China. Kerajaan China juga cuba mengawal media untuk mengekalkan usaha propaganda untuk rakyatnya.[24] Kerajaan China juga menggunakan perang kognitif terhadap Taiwan.[25]

Iran

Kerajaan Iran ketika itu berancang untuk menggunakan Piala Dunia FIFA 2022 sebagai taktik perang saraf melawan protes rakyat yang berlaku pada masa yang sama.[26][27][28][29][30]

Israel

Kerajaan Israel dan tenteranya menggunakan perang saraf. Pada tahun 2021, akhbar Israel Haaretz mendedahkan bahawa "Abu Ali Express", laman berita popular di Telegram dan Twitter yang kononnya khas melaporkan "hal-hal Arab", sebenarnya dikendalikan oleh seorang perunding berbayar Israel-Yahudi kepada Angkatan Pertahanan Israel (IDF). Akaun perang saraf IDF tersebut sebelum itu merupakan sumber beberapa laporan penting yang kemudiannya dipetik oleh media-media Israel dan antarabangsa.[31]

Jerman

Dalam tentera Bundeswehr Jerman, Zentrum Operative Kommunikation bertanggungjawab dalam usaha perang saraf. Pusat ini adalah bawahan kepada cawangan Perkhidmatan Domain Siber dan Maklumat, mempunyai beberapa batalion Peperangan IT dan Elektronik dan terdiri daripada kira-kira 1000 askar. Satu projek pasukan perang saraf Jerman ialah stesen radio Stimme der Freiheit (Sada-e Azadi,[32] Suara Kebebasan), yang didengari oleh ribuan orang Afghan. Mereka juga menerbitkan pelbagai akhbar dan majalah di Kosovo dan Afghanistan, di mana tentera Jerman berkhidmat dengan NATO.

Malaysia

Darurat Tanah Melayu

Peperangan saraf telah memainkan peranan penting dalam strategi kerajaan Tanah Melayu dalam menentang kebangkitan komunis. Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu, Sir Henry Gurney mengadakan kempen ‘Bulan Penduduk Tanah Melayu Menentang Komunis’ yang melibatkan 500 000 orang sebagai sebahagian daripada Rancangan Briggs.[33] Dalam kempen ini mereka membawa sepanduk mengutuk keganasan komunis, mengedar risalah antikomunis, membakar patung-patung komunis serta mengadakan rapat umum.[perlu rujukan] Program penempatan semula kaum Cina ke kampung-kampung baru memisahkan Parti Komunis Malaya daripada organisasi perbekalan mereka, Min Yuen.[34][35]

Kempen itu fokus kepada memenangi hati dan fikiran rakyat, demi memupuk perpaduan menentang ancaman komunis. Berikutan pembunuhan Sir Henry Gurney, Sir Gerald Templer dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi dan Pengarah Operasi British dan telah mengimplementasikan langkah-langkah berkesan untuk menentang komunis dalam Rancangan Templer. Menyedari kelemahan mereka dalam kekuatan dan senjata, kerajaan menggalakkan orang awam untuk menyokong pasukan keselamatan dan polis, menggerakkan perpaduan dan kerjasama segenap masyarakat. Bagi menarik sokongan kaum Cina, Sir Gerald Templer melonggarkan syarat kewarganegaraan

Pemimpin-pemimpin kerajaan, termasuk sultan-sultan dan ketua-ketua menteri, mengecam komunisme secara terbuka untuk meningkatkan lagi sokongan orang ramai terhadap pasukan pemberontakan. Komunis digambarkan sebagai pengkhianat negara, memupuk penghinaan besar-besaran terhadap ideologi mereka. Selain itu, kawalan makanan yang ketat mengganggu catuan bekalan komunis, manakala taktik-taktik agroserangan seperti meracuni tanaman komunis melemahkan lagi keupayaan logistik mereka.

Strategi-strategi peperangan saraf ini penting dalam melemahkan pengaruh komunis dan meraih sokongan orang awam untuk usaha kerajaan sepanjang Darurat Tanah Melayu.

Pengepungan Sauk

Pada 5 Julai tahun 2000, kumpulan al-Maunah dikepung di Sauk, Perak oleh Tentera Darat dan Polis Diraja Malaysia. Pengepungan dilakukan selepas percubaan pengganas-pengganas tersebut untuk menggulingkan kerajaan.[36] Dalam Ops Subuh, lagu-lagu sedih Getaran Jiwa dan Di Mana Kan Kucari Ganti oleh P. Ramlee dimainkan dengan pembesar suara, dan rakaman anak-anak dan isteri-isteri pengganas merayu mereka pulang juga dipasang di sekeliling mereka.[37]

Perancis

Centre interarmées des actions sur l'environnement ialah sebuah organisasi yang terdiri daripada 300 askar yang tugasnya membantu Angkatan Bersenjata Perancis dengan perang saraf. Ditugaskan khususnya ke Mali dan Afghanistan, misi mereka "terdiri daripada menjelaskan dan menerima dengan lebih baik tindakan pasukan Perancis yang sedang beroperasi kepada orang-orang tempatan, justery mendapatkan kepercayaan mereka: bantuan terus kepada penduduk, pengurusan pembinaan semula tapak-tapak, berkomunikasi dengan golongan penduduk, elit dan pegawai-pegawai lantikan tempatan". Pusat ini mempunyai kemahiran menganalisis, mempengaruh, kepakaran dan mendidik.[38]

United Kingdom

British adalah antara negara pertama yang menggunakan taktik psikologi dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua. Dalam Angkatan Bersenjata British kini, perang saraf dikendalikan oleh Kumpulan Operasi Psikologi 15. (Lihat juga MI5 dan Perkhidmatan Perisikan Rahsia). Kumpulan Operasi Psikologi mempunyai lebih daripada 150 kakitangan, kira-kira 75 daripada Perkhidmatan Tentera biasa dan 75 daripada Simpanan. Kumpulan itu menyokong komander-komander dengan kempen-kempen psikologi dalam pelbagai jenis situasi perang.[39][40]

Kumpulan itu ditubuhkan sejurus selepas Perang Teluk 1991,[41] dan sejak itu telah membesar untuk pengoperasian.[42] Sejak 2015 pula, ia telah menjadi salah satu subunit Briged ke-77, dahulunya dipanggil Kumpulan Bantuan Keselamatan.[43]

Pada Jun 2015, fail NSA yang diterbitkan oleh Glenn Greenwald mendedahkan butiran Kumpulan Perisikan Penyelidikan Ancaman Bersama (JTRIG) di agensi perisikan British GCHQ telah memanipulasi komuniti-komuniti dalam talian secara rahsia. Ini selaras dengan matlamat JTRIG: "memusnahkan, menafikan, merendahkan [dan] mengganggu" musuh dengan "mencemarkan nama baik" mereka, menanam maklumat salah dan menutup komunikasi mereka.[44]

Pada bukan Mac 2019, Makmal Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTL) Kementerian Pertahanan (MoD) UK didapati sedang membuat tender kepada syarikat-syarikat persenjataan dan universiti-universiti untuk bantuan yang bernilai £70 juta di bawah satu projek untuk membangunkan kaedah-kaedah baharu perang saraf. Projek tersebut dikenali sebagai keupayaan penyelidikan sains manusia dan sosial (HSSRC).[45]

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ Szunyogh, Béla (1955). Psychological warfare; an introduction to ideological propaganda and the techniques of psychological warfare. United States: William-Frederick Press. m/s. 13. Dicapai pada 11 Februari 2015.
  2. ^ "Forces.gc.ca". Journal.forces.gc.ca. Dicapai pada 18 Mei 2011.
  3. ^ https://www.armyupress.army.mil/Portals/7/Army-Press-Online-Journal/documents/Cook-Cowan-PSYOP.pdf
  4. ^ Chekinov, S. C.; Bogdanov, S. A. "The Nature and Content of a New-Generation War" (PDF). Military Theory Monthly = Voennaya Mysl. United States: Military Thought: 16. ISSN 0869-5636. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 20 Februari 2015. Dicapai pada 11 Februari 2015.
  5. ^ Doob, Leonard W. "The Strategies Of Psychological Warfare." Public Opinion Quarterly 13.4 (1949): 635–644. SocINDEX with Full Text. Web. 20 Februari 2015.
  6. ^ Wall, Tyler (September 2010). U.S Psychological Warfare and Civilian Targeting. United States: Vanderbilt University. m/s. 289. Dicapai pada 11 Februari 2015.
  7. ^ Kirdemir, Baris (2019). Hostile Influence and Emerging Cognitive Threats in Cyberspace (Laporan). Centre for Economics and Foreign Policy Studies. JSTOR resrep21052.
  8. ^ a b Boaz, Gaynor (April 2004). "Terrorism as a strategy of psychological warfare". Journal of Aggression, Maltreatment & Trauma. 9 (1–2): 33–4. doi:10.1300/J146v09n01_03. S2CID 144488159.(langganan diperlukan)
  9. ^ Romano Jr., James A.; King, James M. (2002). "Chemical warfare and chemical terrorism: psychological and performance outcomes". Military Psychology. 14 (2): 85–92. doi:10.1207/S15327876MP1402_2. S2CID 143979791.(langganan diperlukan)
  10. ^ Lerner, Daniel (1971) [1949]. Psychological warfare against Nazi Germany: the Sykewar Campaign, D-Day to VE-Day. Boston, Mass: MIT Press. ISBN 978-0-262-12045-6. Originally printed by George W. Stewart of New York. Alternative ISBN 0-262-62019-7
  11. ^ Lerner, Daniel (1971) [1949]. Psychological warfare against Nazi Germany: the Sykewar Campaign, D-Day to VE-Day. Boston, Mass: MIT Press. ISBN 978-0-262-12045-6. Originally printed by George W. Stewart of New York. Alternative ISBN 0-262-62019-7
  12. ^ Ellul, Jacques (1973). Propaganda: The Formation of Men's Attitudes, p. xiii.Trans. Konrad Kellen & Jean Lerner. Vintage Books, New York. ISBN 978-0-394-71874-3.
  13. ^ Stout, Chris E. (2002). The Psychology of Terrorism: Clinical aspects and responses – Google Books. Greenwood Publishing. ISBN 9780275978662. Dicapai pada 2014-08-10.
  14. ^ Wall, Tyler (18 Ogos 2010). "U.S. Psychological Warfare and Civilian Targeting". Peace Review. Informa UK Limited. 22 (3): 288–294. doi:10.1080/10402659.2010.502070. ISSN 1040-2659. S2CID 144498009.
  15. ^ Phil Taylor (1987). "Glossary of Relevant Terms & Acronyms Propaganda and Psychological Warfare Studies University of Leeds UK". University of Leeds UK. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-10-11. Dicapai pada 2008-04-19.
  16. ^ Garrison, WC (1999). "Information Operations and Counter-Propaganda: Making a Weapon of Public Affairs" (PDF). Strategy Research Project, U.S. Army War College. m/s. 12. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 10 Oktober 2017. Dicapai pada 4 April 2012.
  17. ^ Executive Secrets: Covert Action and the Presidency, William J. Daugherty, University of Kentucky Press, 2004.
  18. ^ Executive Secrets: Covert Action and the Presidency, William J. Daugherty, University of Kentucky Press, 2004.
  19. ^ "Pentagon gearing up to fight the PR war" Washington Post, 6 Februari 2013
  20. ^ Nakashima, Ellen (19 September 2022). "Pentagon opens sweeping review of clandestine psychological operationns". Washington Post. Dicapai pada 24 November 2022.
  21. ^ Chung, YoungJun (2021-07-05). "Allusion, reasoning and luring in Chinese psychological warfare". International Affairs (dalam bahasa Inggeris). 97 (4): 1007–1023. doi:10.1093/ia/iiab070. ISSN 0020-5850.
  22. ^ Hung, Tzu-Chieh; Hung, Tzu-Wei (2022-07-19). "How China's Cognitive Warfare Works: A Frontline Perspective of Taiwan's Anti-Disinformation Wars". Journal of Global Security Studies (dalam bahasa Inggeris). 7 (4). doi:10.1093/jogss/ogac016. ISSN 2057-3170.
  23. ^ "Chinese Military – Psychological Warfare". ufl.edu. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 April 2011.
  24. ^ "Chinese Military – Psychological Warfare". ufl.edu. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 April 2011.
  25. ^ Chin, Jonathan (2023-08-12). "PRC cognitive warfare targets Lai's trip". Taipei Times. Dicapai pada 2023-08-11.
  26. ^ "«عملیات جام‌جهانی»؛ از کی‌روش برای «مقابله با اعتراض احتمالی بازیکنان» استفاده شده است". 27 November 2022.
  27. ^ "اسناد افشاشده خبرگزاری فارس: بهره‌برداری حکومت از جام‌جهانی برای مقابله با خیزش انقلابی". 10 Ogos 2023.
  28. ^ "اسناد افشاشده؛ برنامه‌ریزی حکومت برای دور نگه داشتن تیم فوتبال از ایران اینترنشنال". 10 Ogos 2023.
  29. ^ فردا, رادیو (28 November 2022). "محتوای دو سند هک‌شده از خبرگزاری فارس: تهدید بازیکنان تیم ملی و استفاده از کی‌روش". رادیو فردا.
  30. ^ فردا, رادیو. "انتقال «۱۷ زندانی» به انفرادی برای حکم اعدام؛ کیهان خواستار حبس علی کریمی شد". رادیو فردا.
  31. ^ "Israeli Army Employs Popular Blogger for Psyops on Social Media". Haaretz (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2022-08-24.
  32. ^ "Sada-e-azadi.net". Sada-e-azadi.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Mei 2011. Dicapai pada 18 Mei 2011.
  33. ^ BAB 3: ANCAMAN PARTI KOMUNIS MALAYA DAN DARURAT. (2012, 16 Mei). Cikgu Cikgie Dot. Com.
  34. ^ Oxford English Dictionary, s.v. “Min Yuen (n.),” Julai 2023, https://doi.org/10.1093/OED/1833447993.
  35. ^ Hack, Karl (Mac 1999). ""Iron Claws on Malaya": The Historiography of the Malayan Emergency1". Journal of Southeast Asian Studies (dalam bahasa Inggeris). 30 (1): 108. doi:10.1017/S0022463400008043. ISSN 1474-0680. S2CID 163010489.
  36. ^ Bernama (19 September 2019). "Tak dapat lupa tragedi Al-Maunah". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 Julai 2024. Dicapai pada 10 Julai 2024.
  37. ^ Al-Maunah (musim 1, episod 3). (2010, Oktober 13). Prime Works. https://www.facebook.com/TabikPolis/videos/al-maunah/766737430118770/
  38. ^ "Le Centre interarmées des actions sur l'environnement". www.defense.gouv.fr. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-12-02.
  39. ^ "15 (UK) Psychological Operations Group". Ministry of Defence. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Jun 2006. Dicapai pada 23 Ogos 2008.
  40. ^ "Psychological Ops Group". Royal Navy. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Julai 2010. Dicapai pada 28 Mei 2013.
  41. ^ Jolly, Stephen (Oktober 2000). Minshall, David (penyunting). "Wearing the Stag's Head Badge: British Combat Propaganda since 1945". Falling Leaf (170): 86–89. ISSN 0956-2400.
  42. ^ "15 (United Kingdom) Psychological Operations Group: Annual Report" (PDF). 15 (UK) PSYOPS Group. Dicapai pada 29 Mei 2011.
  43. ^ Ewan MacAskill (31 Januari 2015). "British army creates team of Facebook warriors". The Guardian. Dicapai pada 31 Januari 2015.
  44. ^ "Snowden Docs: British Spies Used Sex and 'Dirty Tricks'". NBC News. 7 Februari 2014. Dicapai pada 7 Februari 2014.
  45. ^ Gayle, Damien (13 Mac 2019). "UK military turns to universities to research psychological warfare". Theguardian.com. Dicapai pada 13 Mac 2019.

Bibliografi

  • Abner, Alan K. Psywarriors : psychological warfare during the Korean War (1951) online
  • Cohen, Fred. Frauds, Spies, and Lies – and How to Defeat Them. ISBN 1-878109-36-7 (2006). ASP Press.
  • Cohen, Fred. World War 3 ... Information Warfare Basics. ISBN 1-878109-40-5 (2006). ASP Press.
  • Holzmann, Ashley F. "Artists of War: A History of United States Propaganda, Psychological Warfare, Psychological Operations and a Proposal for Its Ever-Changing Future." US Army Command and General Staff College, 2020) online
  • Linebarger, Paul M. A. Psychological Warfare: International Propaganda and Communications. ISBN 0-405-04755-X (1948). Revised second edition, Duell, Sloan and Pearce (1954).
  • Pease, Stephen E. Psywar : psychological warfare in Korea, 1950-1953 (1992) online
  • Roberts III, Mervyn Edwin. The Psychological War for Vietnam, 1960–1968 (2018)
  • Roetter, Charles. The art of psychological warfare, 1914-1945 (1974) online
  • Simpson, Christopher. Science of Coercion: Communication Research & Psychological Warfare, 1945–1960 (1994) online
  • Song, Tae Eun. "Information/Psychological Warfare in the Russia-Ukraine War: Overview and Implications." IFANS FOCUS 2022.9 (Mei 2022): 1-4. online
  • Voloshin, Nikolay, and Leyla Garaybeli. "Putin's Psychological Warfare in Ukraine and Syria" Insights of Pakistan, Iran and the Caucasus Studies 2.3 (2023): 50-54. online
Kawalan kewibawaan Sunting ini di Wikidata
Perpustakaan negara
  • Perancis (data)
  • Israel
  • Amerika Syarikat
  • Latvia
  • Republik Czech
Lain-lain
  • Arkib Negara (A.S.)